Wednesday, 22 May 2013

Idealisme dan Falsafah Melayu


Pengenalan

1.0  Definisi Falsafah
Falsafah didefinisikan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain (Kamus Dewan edisi keempat, 2010: 406). Perkataan ‘falsafah’ berasal daripada bahasa Yunani philosophia, iaitu philo ertinya cinta dan sophia ertinya hikmat (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 1).

1.1Kepentingan Falsafah
Falsafah mempunyai kepentingan yang tersendiri. Antaranya ialah seperti di bawah:

1.1.1 Menjadi Panduan dan Landasan dalam Membuat Keputusan
Dalam membuat sesuatu keputusan, seseorang itu perlulah mempunyai pendirian berdasarkan falsafah yang dipegang tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Keputusan yang dibuat juga harus memenuhi keperluan falsafah seseorang.

1.1.2 Mempunyai Kefahaman yang Mendalam dan Sistematik
Falsafah membantu seseorang memahami apa yang sedang berlaku dalam pelajaran. Seseorang yang ingin menceburi sesuatu bidang perlu menguasai bidang yang ingin diceburinya sedalam-dalamnya bagi membolehkan mereka berfikir secara mendalam dan sistematik tentang isu-isu intelek, asas pendidikan, dan kehidupan manusia.

1.1.3 Stabil dan Bersifat Tetap
Falsafah adalah sebagai panduan buat seseorang. Seorang guru misalnya harus bersifat tekal terhadap apa-apa yang berlaku dalam atau di luar bilik darjah. Jika guru kerap kali menukar dan mengubah isi pelajaran, keadaan ini mungkin akan mengelirukan para pelajar.

2.0  Idealisme

Idealisme adalah sifat (sikap atau perbuatan) melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal, sifat (sikap, cita-cita dan sebagainya) menghasratkan yang unggul (yang sempurna) (Kamus Dewan edisi keempat, 2010: 558). Idealisme adalah aliran yang menilai tinggi angan-angan (idea) dan cita-cita (ideal) sebagai hasil perasaan daripada dunia nyata. Aliran ini pada awalnya dikemukakan oleh Socrates (469-399 SM) yang dilanjutkan oleh muridnya yang bernama Plato (427-347 SM.). Idealisme mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan idealisme ialah idealisme berteraskan kesedaran intelek dan sistem berfikir secara rasional dan logik untuk mengenal pasti sesuatu kebenaran. Logik adalah alat untuk menentukan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan pada satu-satu situasi. Falsafah ini lebih bersifat statik, stabil, dan sukar berubah. Walaupun begitu, idealisme tetap mempunyai kelemahan. Keadaan ini disebabkan oleh, anggapan terhadap sesuatu nilai atau kebenaran yang kekal sepanjang masa masih tidak mendapat persetujuan serentak daripada manusia tentang beberapa perkara. Logik adalah kunci asas idealisme tetapi tidak semuanya boleh digunakan kerana terdapat perubahan dari semasa ke semasa.

IDEALISME BERSUMBERKAN ALAM

Idealisme terbahagi kepada beberapa aliran iaitu romantisme, simbolisme, ekspresionisme, mistisme, dan surealisme. Namun, yang menyentuh mengenai sumber alam hanyalah aliran idealisme bagi simbolisme iaitu aliran kesusasteraan yang menyajikan tokoh-tokoh bukan manusia tetapi binatang dan tumbuh-tumbuhan yang disimbolkan sebagai perilaku manusia. Binatang-binatang atau tumbuh-tumbuhan diperlakukan sebagai manusia yang dapat bertindak, berbicara, berkomunikasi, berfikir, berpendapat sebagaimana halnya manusia. Kehadiran karya sastera yang beraliran simbolisme ini biasanya ditentukan oleh situasi yang tidak mendukung pencerita atau pengarang yang berbicara. Pada masyarakat lama, misalnya di mana kebebasan berbicara dibatasi oleh aturan etika moral yang mengikat kebersamaan dalam kelompok masyarakat, pandangan dan pendapat mereka disalurkan melalui bentuk-bentuk peribahasa atau sindiran.
            Jika kita melihat, mengkaji, dan menghayati karya-karya yang dihasilkan oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu, kita pasti akan menemui banyak perumpaan-perumpaan yang dihasilkan pasti menggunakan sumber-sumber alam. Misalnya, perumpaan, pantun, simpulan bahasa, dan sebagainya. Mereka menggunakan sumber-sumber semulajadi ini kerana perkara tersebut sangat dekat dengan mereka. Pantun misalnya banyak digunakan untuk memberi nasihat, pengajaran, dan sindiran kepada masyarakat dalam kehidupan seharian. Kita boleh melihat bagaimana pengarang-pengarang Melayu pada zaman dahulu menggunakan sumber-sumber alam ini untuk menyampaikan sesuatu. Keadaan ini cukup jelas dilihat dalam himpunan pantun-pantun Melayu yang terdapat dalam ‘Bingkisan Permata’.

FALSAFAH BERSUMBERKAN ISLAM

Khazanah persuratan Melayu kaya dengan karya ilmu dalam pelbagai bidang. Dalam zaman klasik, ilmu yang paling menonjol ialah ilmu agama Islam. Hal ini dapat difahami kerana apabila permulaan Islam diperkenalkan kepada umat Melayu, diperlukan pengembangan ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh Islam, iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah) dan hubungan dengan sesama manusia dan bahkan makhluk lain (hablum min al-nas). Oleh itu, terhasillah beberapa banyak karya persuratan dalam bidang ilmu keagamaan.

Secara kasar, ilmu keagamaan yang dikembangkan dalam penulisan para ulama’ terbahagi kepada:

1. Ilmu kalam atau tauhid atau akidah.
2. Ilmu feqah atau ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji.
3. Ilmu kekeluargaan (munakahat).
4. Ilmu hubungan ekonomi dan sosial (muamalat).
5. Ilmu undang-undang dan pengadilan (jinayat).
6. Ilmu tasawuf atau akhlak.

Ilmu lain yang turut digarap ialah sirah atau sejarah, qiraat atau pembacaan al-Quran dan hadith.

Sebagai contoh penerapan falsafah dan logika Melayu yang berteraskan Islam, dalam bab ini dibincangkan sebuah karya ilmu agama Islam yang mewakili karya persuratan ilmu dalam tamadun Melayu. Karya itu ialah Al-`Aqaid al-Nasafi, iaitu terjemahan kitab yang menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Atta ditulis oleh seorang ulama’ di Aceh Darussalam ketika pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah IV (1589-1604M.).

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mengkaji kitab tersebut menegaskan bahawa karya itu merupakan manuskrip tertua yang terhasil dalam tamadun Melayu. Kitab itu bertarikh 1590 dan lebih tua daripada manuskrip lain yang tidak bersifat karya keagamaan, seperti Hikayat Seri Rama (1633). Beliau menyusun teks tersebut kepada 23 perenggan.

Prof. Dr. Wan Muhammad Nor Wan Daud (2005) meringkaskan kandungan karya yang dikupas oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib itu sebagai yang berikut:

Perenggan 2-4 membicarakan kemungkinan atau keupayaan manusia mencapai ilmu tentang hakikat segala perkara dan penolakan akan golongan peragu dan penisbi (golongan Sufastai`yyah/Sofis). Salah satu asas epistemoloi (teori ilmu) Islam yang penting, iaitu sumber ilmu yang bersepadu turut dibincangkan. Sumber ilmu menurut perspektif Islam bersepadu antara sumber pancaindera, akal dan khabar yang benar turut dibincangkan.

Perenggan 5 menghuraikan sifat segala alam makhluk yang senantiasa baharu, berlawanan dengan sifat Tuhan yang tidak baharu. Perenggan 6-9 membicarakan keesaan Tuhan dan sifat-sifat-Nya, iaitu aspek yang menjadi teras pandangan sarwa atau pandangan hidup bangsa Melayu Islam.

Perenggan 10 membicarakan kemungkinan “melihat Tuhan” di akhirat kelak, dengan paduan antara hujah naqal (nas al-Qur`an dan hadith) dengan hujah akal. Perenggan 11-12 membicarakan peranan Tuhan yang maha meliputi segala tindak-tanduk manusia dan juga kebebasan manusia untuk berikhtiar.

Perenggan 13 menghuraikan eskatalogi, iaitu hakikat alam kubur, balasan di akhirat, syurga dan neraka. Selanjutnya perenggan 14 menghuraikan rahmat Tuhan yang sedia mengampuni makhluknya asalkan mereka tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Perenggan 15 menegaskan hakikat iman, Islam dan kebahagiaan. Ditekankan pentingnya kesepaduan antara iman dengan Islam. Perenggan 16 pula menghuraikan aspek kenabian dan mukjizat serta peranan para nabi. Seterusnya, perenggan 17 menghuraikan perihal malaikat, sementara perenggan 18 menghuraikan peristiwa Isra` dan Mikraj serta karamah dalam kalangan para wali Allah.

Perenggan 19 membicarakan para sahabat Nabi dan khilafat atau pemerintah. Sementara itu, perenggan 20 menjelaskan keharusan solat di belakang orang yang salih dan fasiq, kewajiban bersangka baik kepada sahabat Nabi dan perihal sepuluh orang sahabat Nabi yang dijamin masuk ke syurga.

Perenggan 21 menegaskan maqam para wali yang tidak sampai ke peringkat nabi, penolakan ajaran batiniah dan perkara yang mengkufurkan seseorang seperti mempersendakan syariat. Perenggan 22 pula menghuraikan tanda-tanda kiamat. Akhirnya, perenggan 23 menegaskan keterbukaan dalam bermazhab dengan penekanan bahawa imam mujtahid (Syafii, Hanafi, Malik dan Hanbal) berkemungkinan silap dalam hal tertentu. Dalam perenggan akhir ini ditegaskan juga bahawa taraf manusia yang mukmin lebih tinggi daripada taraf malaikat.

Estetik dalam Karya Agung

SENI ESTETIK TINGGI SENTUHAN KARYA AGUNG

Apakah dua faktor ekstrinsik yang mendorong minat kita terhadap sastera besar atau sastera agung dunia? Pertama, faktor emosi terhadap sesebuah karya yang dapat dikaitkan dengan keagamaan atau kerohanian. Bagi sesetengah orang Islam, dorongan itu mendekatkan mereka kepada sastera sufi, umpamanya Mathnawi oleh Rumi, Qasidat-ul-Burda karya al-Busiri, dan Persidangan Burung ciptaan Farid a-Din Attar. 

Kedua, faktor bahasa asing pertama yang kita kuasai. Bagi orang Melayu yang menguasai bahasa Arab, mereka boleh mengikuti sastera sufi yang disebut di atas langsung daripada bahasa asalnya. Bagi mereka yang tidak menguasai bahasa Arab, mereka membaca karya terjemahan dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada kita pula menguasai bahasa Inggeris, menyebabkan kita lebih didedahkan kepada sastera Inggeris. 

Kita sebenarnya mempunyai warisan karya-karya agung kita sendiri. Dua daripadanya ialah Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu). Dalam masyarakat kita sendiri, karya-karya ini sudah beredar begitu lama, sejak karya itu dihasilkan. 



Pada mulanya karya itu disalin dalam bentuk manuskrip tulisan tangan dalam tulisan Jawi. Apabila mesin cetak diperkenalkan ke negara kita pada awal abad ke-19, karya-karya terbabit dicetak dan dapat diterbitkan dengan banyak. Selain versi tulisan Jawi, karya-karya itu juga ada dalam versi tulisan rumi, iaitu huruf yang boleh dikatakan datang bersama-sama penjajahan Barat. 

Dua gandingan 

Huruf rumi dan penjajahan Barat, khususnya Inggeris adalah dua gandingan yang mencorakkan pemahaman sebahagian daripada kita terhadap sastera yang dianggap baik. Karya-karya sastera Inggeris diperkenalkan kepada pelajar negara ini sejak 1940-an atau lebih awal dari tarikh itu, sama ada di sekolah misionari, sekolah Inggeris, dan malah sekolah Melayu (melalui terjemahan). 

Demikianlah kita dihidangkan dengan The Cantebury Tales oleh Chaucer, drama-drama Shakespeare, Gullivers Travels oleh Swift, novel-novel karya Defoe, Richardson, Jane Austin, DH Lawrence dan sebagainya. Perkenalan terhadap sastera Inggeris saja sudah melupakan kita akan hakikat wujudnya karya besar di sekeliling England seperti di Perancis, Jerman dan lain-lain lagi. 
Kendala menguasai bahasa asing selain Inggeris mengakibatkan kita agak terlewat mengikuti karya-karya besar dari negara lain kerana kita harus mencari versi terjemahan Inggerisnya. Lebih lewat lagi apabila kita harus menunggu pula versi bahasa Melayu yang diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris daripada bahasa asalnya! Inilah situasi yang menyebabkan karya pengarang Perancis dan Jerman tiba lewat kepada kita. 

Di Perancis umpamanya, karya besar muncul daripada penulis seperti Rabelais (Gargantua dan Pantagruel), Victor Hugo (Les Miserables), dan Flaubert (Madame Bovary). Di Jerman karya-karya sastera yang menarik antara lain sudah dihasilkan oleh Thomas Mann, Hermen Hesse, Franz Kafka, Gunter Grass serta Goethe dengan drama besarnya, Faust. 

Tunggu 240 tahun 

Apabila baru-baru ini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) melancarkan Faust dalam bahasa Melayu, kita sebenarnya menunggu karya agung ini selama kira-kira 240 tahun sejak kali pertama diterbitkan di Jerman. Ini bukan saja akibat perhatian kita yang selama ini lebih berfokus kepada sastera Inggeris, tetapi juga masalah menemukan penterjemah yang cukup berwibawa, yang mendalami nuansa bahasa Jerman dan bahasa Melayu dengan baik. 

Selain menunggu kira-kira 240 tahun, kita juga sebenarnya menunggu seorang Latiff Mohidin untuk dapat menterjemahkan Faust ke dalam bahasa Melayu. Latiff terdidik selama empat tahun di Academy of Fine Arts, Berlin. Beliau menguasai bahasa Jerman dengan baik. Beliau juga seorang penyair Melayu berbakat besar yang menghasilkan beberapa kumpulan puisi seperti Sungai Mekong, Kembara Malam, Wayang Pak Dalang, Pesisir Waktu dan sebagainya. 

Seorang penyair biasanya melalui proses penyaringan idea, pemilihan diksi yang teliti, menyelami dunia bayangan bagi mencari mutiara metafora, dan menekuni bentuk, warna serta rentak bahasa, agar puisinya indah dan hidup di atas kertas. Apabila seorang penyair seperti Latiff sudah menempuh proses terbabit, ditambah pula dengan penguasaan bahasa Jerman, tidaklah menghairankan jika Faust hadir di hadapan kita dalam bahasa Melayu yang indah, bersahaja serta merangsang emosi dan intelektual kita. 

Merangsang karya besar 

Baik pengarang muda mahupun pengarang mapan, mereka harus menekuni dan membiasakan diri membaca serta menghayati karya agung dunia. Ini boleh merangsang mereka untuk melahirkan karya besar. 

Anggota masyarakat juga wajar membaca karya besar dan agung. Melalui pembacaan dan penghayatannya, kita menikmati seni estetika tinggi dan dalam masa sama memperkaya pengalaman kemanusiaan dan menambah kebijakan. 

Dipetik daripada: Berita Harian



KARYA ZAMAN ISLAM KAYA NILAI ESTETIKA


Dalam konteks ini, teks agung seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Hang Tuah dan lain-lain termasuk Hikayat Inderaputera, Syair Bidasari menonjolkan nilai-nilai ini dengan begitu ketara.

Konsep estetika yang terlihat pada teks-teks ini banyak berteraskan kepada unsur-unsur Hindu - Jawa dan Parsi. Ia agak berbeza dengan karya-karya sastera tradisional yang dilahirkan pada era selepas teks ini yang menonjolkan nilai-nilai keislaman yang lebih luas.
Menurut Prof. Dr. Vladimir I. Braginsky dari Pusat Bahasa dan Budaya Asia Tenggara, Universiti London, asas keislaman inilah menjadikan teks-teks abad ke-18 kaya dengan nilai-nilai estetik.

Dalam erti kata lain, teks-teks selepas era Sejarah Melayu menggambarkan cakupan Islam yang lebih luas sama ada kelompok feudal mahupun rakyat jelata. Kedudukan inilah yang membezakan teks agung tersebut dengan naskhah-naskhah yang lebih terkini yang memperlihatkan pengaruh Islam yang lebih jelas.

Pada Seminar Teori Sastera Islam anjuran DBP baru-baru ini, Braginski menegaskan karya-karya terbaharu seperti Hikayat Maharaja Ali lebih menonjolkan nuansa Islamnya.
"Meskipun hikayat ini tidak menunjukkan fungsi penulisannya yang jelas tetapi berbanding dengan teks-teks tradisional yang lain, ia begitu dari aspek estetik dan nilai-nilai keislamannya.

"Antara lain mengungkapkan tentang kisah kematian Nabi Isa dan pelbagai kejadian selepas kematian yang dikaitkan dengan kebesaran-Nya,'' ujar Braginski.
Selain itu, teks ini juga menurut Braginski lebih menonjolkan aspek-aspek keislaman dalam keluarga istana dan birokrasi yang jelas.

Dalam beberapa aspek, Hikayat Maharaja Ali juga berbeza dengan hikayat-hikayat Melayu di Nusantara iaitu menentang kisah-kisah kecurangan wanita yang tersebar luas dalam sastera-sastera Islam umumnya dan sastera Melayu khususnya.
Jelasnya penerapan nilai-nilai Islam seperti percakapan Nabi Isa dengan tengkorak Maharaja Ali seperti yang termuat di dalam hikayat ini menjadikannya begitu menonjol dengan nilai-nilai estetika Islam.

"Dengan memaparkan aspek-aspek ini, Hikayat Maharaja Ali merupakan sebuah karangan yang menandai Islamisasi secara definitif atas genre 'hikayat pertualangan ajaib' dan yang menggunakan estetika serta puitika genre untuk mengungkapkan nilai-nilai asasi etika Islam, baik kenegaraan mahupun perseorangan.
"Nilai-nilai ini dinyatakan oleh pengarang dengan kemahiran sastera yang menakjubkan. Cara pengisahan padat, lakonik dan penuh dengan pembangunan kisah yang seimbang dan simetris,'' ujar Braginski.

Braginski juga menegaskan Hikayat Maharaja Ali menjadi sebahagian daripada 'perubahan' nilai-nilai estetik sastera Islam hasil pemahaman Islam masyarakat yang lebih merata di Nusantara terutama pada abad tersebut.

Dasar keislaman yang kukuh ini meletakkan sastera Islam di Nusantara umumnya dan Malaysia khasnya sebagai ideologi pengarang untuk mewadahi masyarakatnya yang Islam.
Di sisi lain, naskhah ini secara langsung mampu diletakkan sebaris dengan teks-teks agung lain seperti Hikayat Bakhtiar, Hikayat Raja Jumjumah dan Kisas al-Anbiya.

Hasil daripada 'kesungguhan' ini muncul pendekatan seperti Puitika Melayu oleh Prof. Muhammad Salleh, Pengkaedahan Melayu oleh Prof. Datuk Dr. Hashim Awang, Takmilah oleh Dr. Shafie Abu Bakar, Pendidikan Estetika Dalam Kerangka Tauhid oleh Dr. Affandi Hassan, Teksdealisme oleh Prof. Madya Dr. Abdul Rahman napiah (Mana Sikana) dan Rasa Fenomenologi oleh Dr. Suhaimi Abd. Aziz.

Menurut Dr. Jaelani Harun dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, dalam konteks kesusasteraan moden di tanah air hari ini, teori sastera berasaskan Islam wajar diberi peluang sebagai 'pengganti teori-teori Barat'.
Jelasnya, di samping teori-teori tempatan yang sedia ada, para sarjana harus lebih giat menggali kepada beberapa aspek terutamanya khazanah kesusasteraan Islam dalam usaha penciptaan teori.

"Teori kesusasteraan Islam yang berasaskan genre adab ketatanegaraan misalnya boleh diaplikasikan ke atas karya moden: novel dan cerpen.
"Saya berkeyakinan bahawa sebarang teori yang lahir pada asas falsafah, prinsip dan ciri-ciri genre adab ketatanegaraan boleh memberi manfaat kepada kesusasteraan Melayu klasik atau moden,'' katanya.

Ketika membentangkan kertas kerjanya pada Seminar Teori Sastera Islam di Putrajaya baru-baru ini, beliau yakin dalam konteks kesusasteraan Melayu dan Islam, teori berasaskan Islam akan mendapat tempat.

"Gabungan antara idealisme dengan ciri-ciri tradisi kesusasteraan Islam yang pelbagai yang merangkumi genre prosa dan puisi akan melahirkan suatu teori kesusasteraan Islam yang lebih mantap dan berwibawa,'' tegas Jaelani.

Bagi pensyarah Institut Pujangga UUM, Dr. Syed Othman Syed Omar, teori sastera yang berasaskan Islam akan dapat menganalisis secara lebih tuntas aspek falsafah dan nilai-nilai estetik dalam karya-karya Melayu dari pelbagai genre.

Ini kerana menurutnya sastera Islam khasnya dan sastera Melayu umumnya sejak sebelum merdeka begitu jelas membawa citra estetika Islam. Oleh itu, satu pendekatan yang berasaskan Islam perlu untuk mengkritik dan menganalisisnya.

"Keindahan alam semesta, kejadian manusia dan lain-lain adalah sumber kepada pertumbuhan pelbagai ilmu pengetahuan dalam diri manusia. Dan sumber inilah yang menjadi bahan penulisan para intelektual dan sasterawan,'' katanya.
Dr. Abdul Rahman Napiah dari Jabatan Persuratan Melayu UKM, menegaskan perlunya sarjana tempatan melakukan ijtihad, melahirkan sebuah pendekatan kritikan Islam untuk menganalisis sastera Melayu.

"Sebenarnya dalam sejarah Islam telah lahir tradisi kritikan Islamnya sendiri. Jadi di sini, ada kemungkinan yang terbuka untuk kita mengambil semula konsep daripada prinsip kritikan Islam yang sudah sedia ada itu.

"Kita kemudian boleh menyesuaikannya dari sudut metodologinya dengan situasi dan kondisi kesusasteraan zaman ini di Malaysia,'' jelasnya.
Meskipun begitu menurutnya, penggalian teori sastera Islam harus didasarkan kepada beberapa kriteria. Antara lain ia harus membawa kebaikan kepada khalayak dan kejayaan untuk memperkukuhkan iman dan pembentukan akhlak Islamiah.

"Dalam amalannya, sesebuah teori kritikan Islam harus sebenar-benarnya menjalankan fungsinya menurut kehendak Islam dan segenap ajarannya,'' tambah Abdul Rahman.
Di sisi lain, Abdul Rahman melihat teori kritikan Islam dalam konteks ini harus diberi tempat yang sewajarnya dalam kemeriahan perkembangan kritikan dan penghasilan karya di negara ini. Meskipun begitu ia bukanlah bertujuan untuk sama sekali menafikan teori-teori Barat.

Sementara itu, Prof. Madya Lutfi Abas dari Universiti Brunei Darussalam menekankan perlunya teori kritikan sastera berasaskan Islam diguna pakai secara lebih meluas dalam menganalisis kesusasteraan tempatan (Malaysia) dan Nusantara.
"Kita boleh berbangga dengan teori kita sendiri yang dibina di atas dasar pemikiran dan kepercayaan kita. Nilai-nilai estetika yang terkandung di dalam sastera tempatan hanya lebih tepat jika dilihat dengan kaca mata Islam.
"Keindahan yang terkandung di dalam sastera Islam misalnya hanya boleh dinilai dengan pendekatan Islam. Oleh itu, teori sastera Islam ini perlu diketengahkan dengan sebaik mungkin,'' tegas Lutfi.


Sumber: Utusan Malaysia
hak cipta terpelihara karyaagungmelayu13.blogspot.com