Retorik-keterampilan berbahasa atau teknik memanipulasi minda pendengar/pembaca?
Perkataan "retorik" menjadi popular dan mula diguna pakai secara meluas semasa berlakunya polemik antara Munsyi dengan seorang tokoh bicara suatu ketika dahulu. Kecelaruan dan salah faham mentafsir makna kata ini telah mendorong Munsyi untuk menulis tentang kata ini dengan harapan semua pihak jelas dan benar-benar faham maksudnya. Dalam hal ini, bagi sesetengah pihak "retorik" seolah-olah membawa konotasi negatif negatif. Ada pendapat yang menyatakan individu yang beretorik ketika berkomunikasi turut dianggap berwibawa serta pandai memanipulasi minda orang lain dengan menggunakan bahasa retorik. Tanggapan salah tentang fungsi retorik dalam kalangan pengguna bahasa seharusnya diperbetulkan. Hal ini demikian kerana retorik mempunyai fungsi yang penting sebagai salah satu bentuk strategi komunikasi berbahasa.Menurut Kamus Dewan (2005:1326), retorik ialah kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Retorik juga ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Awang Sariyan (2006:8) menyatakan retorik sebagai satu bentuk strategi komunikasi berbahasa yang menekankan aspek keberkesanan dalam perhubungan. Retorik juga melibatkan soal keterampilan atau kemahiran seseorang mengajukan buah fikiran, idea, atau gagasan. Menurut beliau lagi, dari segi sejarah awal wujudnya, retorik memang dikaitkan dengan kemampuan atau keterampilan seseorang itu menyampaikan pemikiran dalam bentuk hujah atau pidato. Hudson seorang ahli retorik pernah menimbulkan isu ini apabila beliau menyatakan bahawa retorik pada waktu tertentu telah kehilangan konotasi positif kerana salah faham sesetengah orang. Menurut beliau lagi, salah faham ini disebabkan orang tidak faham akan asal usul timbulnya retorik dan fungsi retorik dalam komunikasi.
Terdapat beberapa pemimpin dunia seperti Adolf Hitler, Benitto Musolini, J.F Kennedy, Abraham Lincorn, Sukarno, dan beberapa orang pemimpin Islam yang dikategorikan sebagai pemidato yang dapat menyampaikan idea, visi atau transformasi kepada rakyat dengan berkesan. Misalnya, Abraham Lincorn dengan kata-katanya "Of the people, by the people, and by the people" sudah sebati dengan kita. Atau kata-kata hikmat Saidina Abu Bakar ketika lantik menjadi pemimpin umat Islam selepas kemangkatan Nabi Muhammad SAW seperti yang berikut : "Saudara-saudara, aku diangkat menjadi pemimpin bukanlah kerana aku yang terbaik antara kamu semua. Untukl itu jika aku berbuat salah, luruskan aku. Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan penipuan itu adalah pengkhiatan." Perdana Menteri kita juga semasa mula- mula dilantik menjadi kita ada juga menyuarakan kata-kata hikmatnya, iaitu "Bekerja bukan untuk saya tetapi bekerjalah bersama-sama saya.: Ungkapan-ungkapan tersebut mudah sahaja tetapi dianggap keramat kerana setiap kali diperdengarkan orang akan terpesona dengannya. Apakah keistimewaannya?
Jeniri Amir (2006:15) menyatakan ungkapan tersebut menjadi ikutan umum kerana mudah diingat dan menyerap ke dalam minda pendengar. Hal ini demikian kerana ungkapan tersebut berpaksi kepada tiga prinsip seperti yang menjadi pegangan pemimpin-pemimpin terdahulu semasa menyampaikan pidato. Prinsip "tiga" atau "tricolon" dapat sahaja dimanfaatkan dalam bentuk perulangan kosa kata, ungkapan, frasa atau ayat. Prinsip ini jika digunakan dengan tepat akan memberikan kesan dramatik dan mampu mengikat perenggan dengan berkesan. Rangkaian bertiga mampu menghasilkan rentak dan ritma. Alat tersebut dapat dikatakan sebagai alat pengucapan dan teks ucapan yang berkesan. Pengucap, pemidato, dan pemimpin terkemuka sering menggunakan prinsip kupulan bertiga kerana mereka sedar akan kesan penggunaannya.
Penulis teks atau pengucap yang baik selalunya bijak memilih diksi atau kata-kata. Hal ini bermaksud kata-kata yang dapat mengungkap kenyataan, memperhalus, memperbesar, bahkan menyembunyikan realiti. Dalam retorik, bahasa yang digunakan hendaklah jelas, tepat, mudah, indah, dan menarik. Pemidato perlu sentiasa berusaha untuk menggunakan kata-kata yang khusus supaya dapat mendukung maksud sebenarnya.Pemidato sering dinasihati agar menggunakan kata-kata yang sederhana dan mengelakkan penggunaan kata-kata yang bombastik. Kata-kata tersebut dimaksudkan sebagai kata yang berdegar-degar dan lebih besar daripada idea yang cuba disampaikan. Dalam hal yang perlu difahami oleh pemidato adalah lebih baik menggunakan fakta dan hujah yang mudah ditafsir dan difahami daripada menggunakan kata-kata yang bombastik ini. Lantas, penggunaan kata-kata yang tepat, jelas, dan menarik lebih menimbulkan kesan yang mendalam dan kuat terhadap pendengar. Perkataan tersebut dapat menggambarkan sikap, perasaan atau keadaan yang dilukiskan oleh pemidato.
Oleh itu, Munsyi berpendapat sesuatu ucapan atau pidato yang berkesan dan dapat mencapai tujuannya perlulah disampaikan dengan pelbagai teknik dan digabungkan dengan unsur retorik. Hal ini demikian kerana ucapan atau pidato yang dapat memanipulasikan segala unsur retorik yang sesuai tentu kedengaran lebih hebat dan dapat melonjakkan citra penyampainya, selain mampu meninggalkan kesan yang dapat diibaratkan sebagai "halwa telinga dan santapan rohani" para pendengar. Selain itu, kehebatan menyampaikan ucapann atau pidato memperlihatkan kewibawaan dan keterampilan seseorang perucap atau pemidato itu. Jelaslah di sini, retorik perlu dilihat dari perspektif positif kerana tanpanya sesuatu ucapan atau pidato itu boleh diibaratkan sebagai lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan seperti yang dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Sumber: Retorik
No comments:
Post a Comment