Wednesday, 22 May 2013

Nilai Ilmu dan Maklumat


 NILAI ILMU DAN MAKLUMAT

Karya yang Dipilih: Hikayat Abdullah

Dari segi istilah, ilmu  merupakan pengetahuan, kepandaian atau kajian tentang sesuatu perkara (mampu menafsir, menganalisa, mengolah maksud yang tersirat dan tersurat disebalik maklumat serta berupaya mengemukakan maklumat baru). Maksud maklumat dari segi istilah ialah pemberitahuan, makluman, keterangan atau pengumuman(Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Nilai ilmu dan maklumat ini adalah sama mengikut bahasa Arab. Menurut bahasa Arab, perkataan ilmu adalah sama dengan maklumat iaitu Alima bererti mengetahui manakala Al-ilmu bererti pengetahuan. Melalui penggabungan kedua-dua perkataan ini, dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai ilmu pengetahuan.

Definisi Ilmu Jampi

Dalam konteks masyarakat Melayu, Harun Mat Piah (1989) menjelaskan bahawa jampi ialah semua jenis pengucapan sama ada dalam bentuk prosa atau puisi yang mengandungi tujuan dan konotasi magis, pengubatan dan perbomohan. Jampi dalam erti kata lain disebut juga sebagai mantera, serapah, sembur, puja, seru, tangkal dan lain-lain lagi. Haron Daud (2001) pula menyatakan bahawa jampi ialah semua jenis pengucapan dalam bentuk puisi atau bahasa berirama yang mengandungi unsur magik dan diamalkan oleh orang tertentu, terutama bomoh dengan tujuan kebaikan atau sebaliknya.

Menurut Mana Sikana (1996), jampi bukan hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia mempunyai hubungan dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi juga dikatakan sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya dalam bidang perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.

Dalam konteks masyarakat Melayu, Harun Mat Piah (1989) menjelaskan bahawa jampi ialah semua jenis pengucapan sama ada dalam bentuk prosa atau puisi yang mengandungi tujuan dan konotasi magis, pengubatan dan perbomohan. Jampi dalam erti kata lain disebut juga sebagai mantera, serapah, sembur, puja, seru, tangkal dan lain-lain lagi. Haron Daud (2001) pula menyatakan bahawa jampi ialah semua jenis pengucapan dalam bentuk puisi atau bahasa berirama yang mengandungi unsur magik dan diamalkan oleh orang tertentu, terutama bomoh dengan tujuan kebaikan atau sebaliknya.

Menurut Mana Sikana (1996), jampi bukan hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia mempunyai hubungan dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi juga dikatakan sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya dalam bidang perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.Dalam karya agung Hikayat Abdullah, terdapat beberapa contoh penggunaan ilmu jampi.

Maka apabila sangatlah ia hendak merempuh kandang itu rupanya, maka diambil oleh pawang itu sedikit batang pisang dibaca-bacakannya, kulihat dicampakkannya ke dalam kandang itu. Maka berhentilah ia sebab merebut makanan itu.
(Hikayat Abdullah: 54)

Penggunaan Ilmu Jampi Dalam Masyarakat Melayu
Jampi merupakan susun kata yang dipercayai dapat memberi kesan ke atas perkara tertentu yang dihajati. Contohnya untuk menyembuhkan penyakit, air, minyak atau bahan tertentu yang dijampikan dan digunakan sama ada dengan menyapukan ke tempat yang sakit atau dimandikan untuk menyembuhkan penyakit. Jampi juga digunakan oleh orang dahulu kala dalam melakukan amalan harian seperti ketika mandi, ketika menyikat rambut, ketika keluar rumah dan sebagainya sama ada bertujuan untuk kecantikkan, keselamatan dan sebagainya.
Harun Daud (2001) telah menggariskan beberapa ciri yang perlu dimiliki jampi:
                                                       i.            Berupa teks ucapan yang terbina daripada kata-kata atau ayat dalam bentuk puisi atau bahasa berirama.
                                                     ii.            Isi teks mengandungi konotasi magik atau berkaitan dengan kuasa luar biasa.
                                                   iii.            Kata-kata atau ayat yang membina teks itu diperoleh melalui perguruan atau penurunan secara ghaib dan diyakini sepenuhnya.
                                                   iv.            Mempercayai dan yakin serta diamalkan secara bersungguh-sungguh dengan memenuhi syarat-syarat dan mematuhi pantang larang yang ditetapkan.
                                                     v.            Digunakan dengan tujuan tertentu sama ada untuk kebaikan atau keburukan.

Jenis-Jenis Jampi
Harun Mat Piah (1989) telah membahagikan ilmu jampi kepada empat jenis berdasarkan fungsi jampi tersebut dalam kehidupan masyarakat pada waktu tersebut. Antaranya ialah
                                                       i.            Pakaian diri.
                                                     ii.            Pembantu dalam pekerjaan.
                                                   iii.            Perubatan dan perbomohan.
                                                   iv.            Kegunaan dalam upacara.


Definisi Ilmu Pengasih
Ilmu Pengasih merupakan ayat yang dibaca bertujuan supaya orang lain menyukai diri orang yang membaca ayat pengasih tanpa mengira dari segi hubungan atau layanan mereka terhadap pengamal ayat pengasih ini. Penggunaan ilmu ini bertujuan supaya orang lain menyenangi dan berasa tenang apabila berhadapan dengan orang yang mengamalkan ilmu pengasih ini. Ilmu pengasih banyak diamalkan oleh orang yang mempercayai ilmu karut namun ada juga yang diamalkan oleh sesetengah orang yang kuat agamanya, kerana ayat pengasih ini terdapat dua kategori iaitu jenis yang haram diamalkan dan jenis yang halal diamalkan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh agama.

            Penggunaan Ilmu Pengasih Dalam Masyarakat Melayu
Ilmu pengasih yang diamalkan oleh masyarakat Melayu berperanan untuk menjadikan pemakainya dikasihi oleh orang tertentu dan orang ramai di sesuatu tempat yang dikenakan imu ini. Ilmu pengasih digunakan secara meluas untuk mencari pasangan mahupun memiliki seseorang yang dihajati atau digilai.

Pengamal ilmu pengasih ini biasanya akan menguasai semangat, jiwa dan perasaan orang yang dihajati itu sama ada melalui penyeruan rohnya secara lembut, cara paksaan dengan menggunakan jin untuk memaksa mangsa datang menemui pengamal atau secara paksaan langsung.


Ilmu Firasat
Maksud Firasat dari segi Islam ialah perasaan atau gerakan hati  yang benar atau tepat kerana mendapat pimpinan dari Allah SWT. Sabda Rasulullah: “Takutlah olehmu firasat orang mukmin kerana ia memandang dengan cahaya  Allah.” (Hadis Riwayat At Tarmizi). Dari segi istilah, ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dll) untukk mengetahui kelakuan atau nasib orang (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Di bawah ialah contoh yang menggambarkan Hikayat Abdullah menceritakan mengenai ilmu firasat pada zaman dahulu.

"Jikalau diusiknya sahaja kota ini, nescaya banyaklah orang mati, karena ada beberapa banyak jin syaitan dalam kota itu."
(Hikayat Abdullah, 41).

Maka sebab sangka itu menjadi banyaklah orang bermimpi berjenis-jenis dan yang ada konon ditampar syaitan, muntah-muntah darah lalu mati, dan yang sakit berjenis-jenis penyakit.
                                          (Hikayat Abdullah: 45).

Ilmu Pendukunan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dukun ialah orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan menggunakanbacaan jampi serapah dan sebagainya. Dukun juga turut dikenali dengan panggilan bomoh dan pawang. Manakala definisi ilmu pendukunan ialah yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun, di rantau sebelah sini, gejala dan kegiatan perbomohan atau sudah menjadi rempah dalam kehidupan. Namun demikian, dalam Islam ilmu pendukunan adalah sesuatu yang haram. Hal ini dapat dibuktikan dengan sabda Rasulullah SAW, “ Barangsiapa mendatangi tukang ramal lalu menanyakan kepadanya tentang sesuatu perkara dan dia mempercayainya, maka solatnyanya tidak diterima selama empat puluh hari”. (HR. Muslim).

            Dalam karya agung Hikayat Abdullah, terdapat masyarakat pada zaman dahulu yang menggunakan ilmu pendukunan ini. Mereka menggunakan ilmu pendukunan untuk tujuan yang tertentu. Dukun yang mengamalkan ilmu pendukunan yang mengamalkan bacaan jampi ini dikenali sebagai pawang. Di bawah ialah contoh petikan teks yang menunjukkan penggunaan ilmu jampi dalam Hikayat Abdullah.

Syahadan, maka adalah pada masa itu, dalam Melaka datang seorang, iaitu datang dari Terengganu, bernama Pawang Gajah. Maka asalnya ia orang Kedah yang tau pada ilmu gajah dan berbagai-bagai ubatan.
(Hikayat Abdullah: 51).

Maka sebab itu maka serba bangsa pun ada meminta ubat-ubatan dan hikmat-hikmat dan tangkal-tangkal kepadanya.
(Hikayat Abdullah: 55).

Ilmu Pengasih
Ilmu Pengasih merupakan ayat yang dibaca bertujuan supaya orang lain menyukai diri orang yang membaca ayat pengasih tanpa mengira dari segi hubungan atau layanan mereka terhadap pengamal ayat pengasih ini. Penggunaan ilmu ini bertujuan supaya orang lain menyenangi dan berasa tenang apabila berhadapan dengan orang yang mengamalkan ilmu pengasih ini. Ilmu pengasih banyak diamalkan oleh orang yang mempercayai ilmu karut namun ada juga yang diamalkan oleh sesetengah orang yang kuat agamanya, kerana ayat pengasih ini terdapat dua kategori iaitu jenis yang haram diamalkan dan jenis yang halal diamalkan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh agama (http://ms.wikipedia.org/wiki/Ayat_pengasih).

Namun demikian, dalam Hikayat Abdullah tidak dinyatakan bahawa masyarakat pada zaman tersebut mengamalkan ilmu pengasih dalam kehidupan mereka.

Maklumat Tentang Strata Sosial
Stratifikasi Sosial merujuk kepada satu sistem yang mana terdapat pelbagai kategori manusia dalam sesuatu masyarakat. Stratifikasi sosial masyarakat Melayu yang berperingkat jelas telah diperincikan dalam Hikayat Abdullah. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, namun masih lagi dapat dikesan kedudukan masyarakat Melayu pada zaman tersebut.

Dalam karya tersebut, masyarakat Melayu tradisional dibahagikan kepada dua golongan atau kumpulan iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah dan diperintah masing - masing terbahagi pula kepada beberapa kelompok yang lebih kecil bercirikan taraf, kedudukan, dan peranan yang dapat dimainkan dalam masyarakat.

 Peniaga
Peniaga merupakan salah satu golongan yang termasuk dalam strata sosial dalam Hikayat Abdullah. Berdasarkan Hikayat Abdullah, didapati bahawa golongan peniaga adalah paling ramai wujud pada zaman tersebut. Kewujudan para peniaga ini telah melahirkan ramai golongan orang kaya. Di bawah ialah contoh yang menunjukkan golongan peniaga terdapat dalam strata sosial dalam Hikayat Hang Tuah.

Hatta dengan beberapa lamanya ia di sana pekerjaannya sambil berniaga sambil mengajar orang-orang hulu itu daripada hal mengaji dan sembahyang dan sebagainya darihal perkara agama Islam.
(Hikayat Abdullah: 7)

Orang Kaya
Orang kaya merupakan golongan strata sosial yang berada di atas golongan peniaga. Golongan ini yang akan membantu golongan peniaga melariskan hasil jualan mereka. Kebanyakan golongan orang kaya ini juga merupakan golongan peniaga. Dalam Hikayat Abdullah, golongan ini juga tergolong dalam strata sosial pada zaman tersebut. Di bawah ialah contoh petikan teks yang menunjukkan golongan orang kaya yang terdapat pada zaman tersebut.

Maka banyaklah mereka itu yang menjadi kaya sebab berniaga dalam Melaka.
(Hikayat Abdullah: 27)

Pedagang
Maka adalah pada masa itu negeri Melaka pun dalam sentosanya dan dagang pun terlalu banyak keluar masuk, datang daripada segala pihak negeri, berniaga ke Melaka.
 (Hikayat Abdullah, 50)

Raja/Sultan
Raja/sultan merupakan golongan yang berada di kedudukan paling atas dalam strata sosial masyarakat Melayu. Golongan sultan merupakan golongan yang paling dihormati dan rakyat perlu menunjukkan taat setia yang tinggi terhadap sultan. Mereka tidak boleh menderhakai raja/sultan kerana mereka adalah golongan tertinggi.

Sebermula, maka segala orang Melaka daripada empat bangsa orang pun terlalu sangat kasih dan setuju berajakan Tuan Farquhar itu.

 (Hikayat Abdullah: 51)

 MASYARAKAT
Masyarakat Melayu mempunyai adat dan istiadat  yang perlu dipatuhi. Dalam Hikayat Abdullah, terdapat banyak adat istiadat yang digambarkan dan digunakan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Di bawah ialah contoh petikan teks yang terdapat dalam Hikayat Abdullah.Adat istiadat merupakan salah satu kepentingan utama dalam masyarakat Melayu. Adat istiadat ini dijadikan pegangan yang kukuh kerana adat ini melambangkan maruah orang-orang Melayu.Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.

Adat seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu. Dalam Hikayat Abdullah, terdapat banyak adat istiadat yang digambarkan dan digunakan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Di bawah ialah contoh petikan teks yang terdapat dalam Hikayat Abdullah.

Bermula, adapun adat menjualkan anak itu bukannya seperti orang menjual hamba, melainkan namanya sahaja, sewang atau lima enam duit, maka duit itu diambil oleh ibu bapanya, dibelikannya penganan atau barang-barang makanan, dimakankannya.
(Hikayat Abdullah: 15)


Sebagai lagi, maka adalah adat apabila seorang melepaskan anaknya mengaji, maka datanglah ibu atau bapa budak yang akan mengaji itu dahulu menyembah guru itu serta membawakan sirih secerana dan penganan sedulang bersama-sama dengan budak yang hendak mengaji itu serta ibu bapanya ...
(Hikayat Abdullah: 24)

Setelah esoknya, dijemputkan pula segala orang-orang itu diberi makan minum. Setelah membaca doa selamat, maka adalah sudah sedia tukang sunatkan orang itu. Maka setelah sudah disunatkan itu, maka tujuh hari lamanya baharu mandi, kemudian boleh berjalan.
(Hikayat Abdullah: 26)

Adat Temenggong
Adat Temenggung merupakan undang-undang adat Minangkabau yang diamalkan di Negeri-Negeri Melayu (pada asalnya bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka sebelum diwarisi turun temurun oleh negeri-negeri Melayu yang lain) kecuali Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih. Adat Temenggong merupakan sistem sosiobudaya peribumi tentang pemilikan, pewarisa dan kepimpinan yang terdapat dalam masyarakat yang mengamalkan sistem dwisisi. Menurut Lagenda, pengasas adat ini ialah Datuk Temenggung atau datuk Ketumanggupan yang telah berselisih faham dengan abangnya Datuk Perpatih Nan Sebatang, lalu membawa diri dari kampung asalnya yang terletak di kawasan pedalaman ke kawasan pesisir. Di situlah Datuk Temenggung telah menubuhkan sebuah petempatan sendiri dan memperkenalkan sistem undang-undang baru yang kemudiannya dikenal sebagai adat temenggung.

Sebermula maka kemudian daripada bapaku itu tinggal di Sungai Baru beberapa lamanya, maka segala adik kakak bapaku yang di dalam negeri Melaka terlalu sangat sukacita hendak mengahwinkan akan dia dalam Melaka.  (Hikayat Abdullah: 8)
Dalam adat temenggong, kaum wanita akan tinggal bersama keluarga suami setelah berkahwin. Di bawah ialah contoh dialog yang menunjukkan adat temenggong dalam hikayat Abdullah.

Syahadan, maka bondaku pun duduklah bersama-sama dengan nenekku itu serumah sebab pada masa itu bapaku sudah berlayar pergi berniaga ke Siak karena perniagaan terbuka dalam negeri Siak.                                                             
(Hikayat Abdullah: 16)

Adat Perpatih
Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi. Sistem hidup yang berpandukan kepada Adat Perpatih ini dipegang dan diamalkan oleh Masyarakat Melayu di negeri Sembilan terutama di daerah-daerah Kuala Pilah, Jempol, Rembau, Jelebu dan Seremban di kawasan Lenggeng dan Pantai serta daerah Tampin sehingga ke daerah Naning di Melaka. Namun demikian, dalam Hikayat Abdullah, penulis tidak menggambarkan penggunaan adat perpatih pada zaman dahulu.



Kesimpulan
Karya agung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran yang luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa. Karya itu dianggap sebagai warisan bangsa dalam eti kata bahawa ia mewakili “minda” dan pengalaman bersama (kolektif) bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradidsi/konsep ilmu, adat, bahasa, seni, dan pekerti budaya dan sosial yang membentuk citra atau identiti ketamadunan bangsa itu.
Warisan yang ditinggalkan oleh kesusasteraan Melayu tradisional dan inilah “kerangka” yang kita gunakan dalam Pengenalanini untuk mentakrifkan makna Karya Agung Melayu. Perhatian kita tertumpu kepada usaha untuk mengkaji ciri kewarisan atau nilai ketamadunan yang terkandung dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Takrif ini tidak termasuk karya kesusasteraan Melayu sezaman yang tentunya sedang menciptakan “tradisi”nya yang tersendiri berdasarkan warisan yang telah ditinggalkan itu.

Dapatlah kita katakan bahawa salah satu ciri penting keagungan karya Melayu terletak pada ketamadunan ilmu yang dipancarkan oleh sesebuah karya itu. Kita mendapat gambaran yang jelas bahawa “yang empunya ceritera”, iaitu pengarang sastera tradisional Melayu, memperlihatkan keupayaan dan keterbukaan “minda”nya untuk menyerap “ilmu” dan nilai baru, yang dipelajari daripada Islam(al-Quran dan Hadith), untuk menilai dan memperkukuhkan tradisi bangsanya.

Mantera mula dipertentangkan dengan doa, berguru kepada “orang pertapa” dipertentangkan dengan berguru kepada syeikh/makhdum syariah atau tasawuf, adat dan tradisi keadilan Melayu digandingkan atau diperkukuhkan dengan keadilan menurut hukum Allah, petua orang tua-tua diselaraskan dengan prinsip syariah, Hadith dan ajaran al-Quran, perspektif/kosmologi bertauhidan menggantikan kepercayaan animisme, politeisme dan pantiesme. Inilah proses perkembangan ilmu yang dipaparkan dalam Karya Agung Melayu.  



Rujukan

Hamzah Hamdani dan Siti Aisah Murad (2004). Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harun Mat Piah (1989). Puisi Melayu Tradisional: Satu Perbincangan Genre dan Fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haron Daud (2001). Mantera Melayu: Analisis Pemikiran. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Mana Sikana (1996). Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jihaty Abadi, Azran Rahman & Amida Abdulhamid (1979). Sari Sejarah Kesusasteraan
Melayu-Indonesia (Tradisi & Moden). Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn.Bhd.

Kassim Ahmad (peny.) (1981). Kisah Pelayaran Abdullah . Kuala Lumpur : Penerbit Fajar
Bakti Sdn. Bhd.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Li Chuan Siu (1972). Iktisar Sejarah Kesusasteraan Melayu Baru 1830-1945. Kuala Lumpur:
Penerbitan Pustaka Antara.

Mana Sikana (1996). Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahmam Shaari dan Nurazmi Kuntum (1984). Kesinambungan Sastera Melayu Puisi dan
Prosa. Kuala Lumpur : Pustaka Antara Sdn. Bhd.

Zahir bin Ahmad, Mohd Taufik bin Mohd Balwi, Madiawati binti Mustaffa (2007). Wacana
Persuratan Melayu. Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Definisi Ilmu Pengasih. Diperoleh pada 25  Mac 2013 daripada

Definisi Ilmu Pengasih. Diperoleh pada 25  Mac 2013 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Ayat_pengasih.

Munsyi Abdullah. Diperoleh pada 23 Mac 2013 daripada http://www.scribd.com/doc/94638450/LATAR-BELAKANG-DAN-SEJARAH-MUNSYI-ABDULLAH.


No comments:

Post a Comment

hak cipta terpelihara karyaagungmelayu13.blogspot.com