ANALISIS 1
Sulalatus Salatin: Karya Agung yang Dibanggakan
Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)
Tun Seri Lanang dianggap sebagai pengarang karya agung
Melayu, Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sekitar tahun 1611 berdasarkan
naskah yang ditulis di negeri Melaka, setelah mendapat perintah daripada Sultan
Abdullah Maayah Syah. Baginda menitahkan Tun Seri Lanang dengan titah berikut:
“Bahawa beta minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara peri persetua dan
peri petuturan raja-raja Melayu dengan istiadat sekali; supaya diketahui oleh
segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka
itu; syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya,” (Sulalatus Salatin: 3)
Karya ini mengisahkan jurai keturunan raja-raja Melaka
yang dikaitkan dengan Raja Iskandar Zul-karnain menerusi pertalian tiga orang
putera Raja Suran yang turun di Bukit Siguntang Mahameru. Salah seorang
daripada mereka, Nila Utama (Sang Sapurba) berkahwin dengan anak Demang Lebar
Daun dan seterusnya bergelar Seri Teri Buana lalu membuka Temasik. Apabila
Temasik jatuh di tangan Majapahit, Raja Iskandar melarikan diri lalu
mengasaskan Kerajaan Melaka. Keturunan baginda, Raja Kecil Besar menaiki takhta
serta menganut Islam dengan menggunakan gelaran Sultan Muhammad. Sepanjang
keagungan Kerajaan Melaka diperkatakan kisah sultan-sultan yang telah
memerintah Melaka seramai 10 orang serta beberapa tokoh agung Melaka lainnya
termasuk Bendahara Paduka Raja Tun Perak, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir
serta Hang Tuah lima bersaudara.
ANALISIS 2
Kewajaran Syair Ken Tanbuhan Diangkat Sebagai Karya Agung Melayu
Menurut Noriah Mohamed et.al (2002), walaupun naskhah Syair Ken
Tambuhan ini kehilangan beberapa halaman seperti halaman 7,8 dan 108, ia masih
lagi dapat dijadikan sampel yang amat berharga untuk membuktikan bahawa
penyalin Melayu mempunyai daya kreativiti yang amat tinggi untuk melahirkan
sebuah penulisan yang lebih panjang dan bersesuaian dengan tujuan penghasilan
naskhah tersebut. Gabungan antara unsur–unsur Jawa dengan Melayu setempat telah
melahirkan suatu bentuk naskhah yang indah. Syair Ken Tambuhan ini mempunyai
keistimewaan yang tersendiri sehingga
melayakkannya diiktiraf sebagai karya
agung berdasarkan idea, keindahan bahasa yang digunakan, dan mesej yang cuba
diterapkan walaupun tidak dipaparkan secara terang-terangan.
Maksud yang
tersirat dalam Syair Ken Tambuhan juga jelas menunjukkan ia mempunyai kaitan
rapat dengan kehidupan manusia. Selama ini kita sebagai pembaca sering
didedahkan bahawa cerita-cerita panji lahir sebagai cerita yang diciptakan
dengan tujuan untuk menaikkan citra atau imej pemerintahan kraton Jawa di samping
sebagai hiburan. Matlamat cerita-cerita panji diperihalkan dengan tujuan untuk
melihat unsur-unsur yang terdapat di dalamnya yang tidak jauh bezanya dengan
perjalanan hidup manusia. Manusia perlu dilahirkan, perlu dididik secara
sempurna menurut nilai-nilai persekitarannya agar dapat mencapai matlamat
kehidupan yang didambakan.
ANALISIS 3
“RELEVANKAH SULALATUS SALATIN DINILAI BERDASARKAN CIRI
PENSEJARAHAN MODEN. BINCANGKAN.”
1.0 PENDAHULUAN:
Kajian kali ini adalah berkaitan dengan teks Salalatus
Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Saya akan mendiskusikan teks
ini dalam kadar yang serelevan mungkin. Bagi mencapai maksud itu, saya akan
membuat penilaian dan kajian terhadap teks ini berdasarkan pelbagai aspek.
Aspek yang akan ditekankan dalam kajian teks ini adalah berkaitan dengan
penggunaan pandangan dan kaedah pensejarahan barat terhadap teks Salalatus
Salatin ini. Persoalannya kini, layakkah karya pensejarahan tradisional umumnya
dan Salalatus Salatin khususnya dinilai dan dikaji dengan mengaplikasikan
teori-teori dan kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh para sarjana barat. Oleh
yang demikian, kajian ini akan mengupas perihal ini dengan lebih lanjut untuk
mencapai solusi yang bernas dalam menjawab persaolan ini.
2.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN MODEN:
Penggunaan konsep pensejarahan yang lebih saintifik dilihat
bermula hasil daripada cetusan idea yang dicanang-canangkan oleh Bapa
Pensejarahan Moden iaitu Leopold von Ranke pada abad ke-19.[1] Konsep yang agak
sinonim dengan diri beliau dalam dunia pensejarahan ialah konsep yang berbunyi
“Saya hanyalah berhajat semata-mata untuk memperlihatkan bagaimana keadaannya
yang sebenar” (wie es eigentlich gewesen).[2] Menurut Profesor Leonard Krieger,
Ranke merupakan seorang yang memulakan sains tentang sejarah yang berdasarkan
kajian yang lebih kritikal terhadap sumber-sumber. Beliau juga telah
memperkenalkan beberapa lagi konsep pengkajian sejarah. Antaranya ialah konsep
“Historicism” dan “Quellinkritik”.[3]
Selain itu, sejarah yang dikatakan sebagai suatu displin
ilmu yang ilmiah menurut pandangan R.G.Collingwood haruslah mempunyai empat
ciri. Pertama, sejarah yang bersifat ilmiah ialah sejarah yang bersifat
saintifik iaitu bermula dengan mengemukakan pelbagai persoalan.
Persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh ahli sejarah adalah bertujuan mencari
jawapan terhadap setiap perkara yang dikaji oleh mereka. Kedua, sejarah juga
perlulah merupakan suatu bidang tentang kemanusiaan iaitu mengemukakan
perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada waktu-waktu tertentu
pada masa lalu. Ketiga, sejarah perlulah merupakan suatu bidang kajian yang
rasional dan memerlukan bukti-bukti tertentu dalam penyelidikannya. Akhirnya,
sejarah juga perlulah bersifat menjelaskan diri iaitu dapat memberi pengetauhan
dan penerangan tentang sesuatu perkara yang telah berlaku dan mungkin berlaku.
Selanjutnya, sejarah sebagai sains juga memperlu mempunyai
empat ciri yang tertentu iaitu berdasarkan penyelidikan, menunjukkan kebenaran,
membantu dalam membuat ramalan dan perlu bersifat objektif.[4]Selain itu juga,
isu pengadilan moral juga ditekankan dalam bidang pensejarahan moden. Menurut
Kasim Ahmad, pengadilan moral ialah perlakuan menjatuhkan hukuman, ataupun
mengenakan penilaian tertentu kepada peristiwa sejarah atau kepada seorang
pelaku dalam sejarah.[5] Semua teori dan kaedah ini diaplikasikan dalam bidang
pensejarahan bertujuan memastikan sejarah yang ditulis itu benar-benar objektif
dan berdasarkan konsep saintifik. Perkara inilah yang mencetuskan sedikit
permasalahan dalam mengkaji karya pensejarahan tradisional di negara ini. Hal
ini kerana, kebanyakan isi kandungan yang tersurat dalam teks-teks ini
sememangnya mempunyai percanggahan yang agak lebar umpama “langit dan bumi”.
Justeru itu, timbullah persoalan iaitu adakah layak karya-karya pensejarahan
tradisional Melayu dinilai dan dikaji berdasarkan teori-teori dan kaedah-kaedah
ini.
3.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN TRADISIONAL:
Terdapat beberapa ciri khusus dalam karya pensejarahan
tradisional. Kebanyakan ciri yang terkandung dalam karya pensejarahan
tradisional kelihatannya begitu bertentangan dengan ciri-ciri pensejarahan
moden. Menurut Ismail Hussein, pensejarahan tradisional ialah sejarah atau
historiografi yang berdasarkan dakyah politik untuk diperturunkan kepada
generasi akan datang dan mengandungi unsur-unsur kesusasteraan. Unsur-unsur
sasteranya dilihat dalam bentuk puisi, syair, mitos, lagenda dan sebagainya.[6]
Selain itu, pensejarahan tradisonal juga dipengaruhi oleh unsur penaungan iaitu
kebanyakan penulisnya menulis dalam keadaan yang tidak bebas kerana dikongkong
oleh kuasa pemerintah. Ciri lain pula ialah terdapatnya unsur anakronistik
iaitu kesilapan atau percanggahan untuk menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh
dan tempat pada zaman yang sebenarnya.[7] Seterusnya, unsur mitos, lagenda,
dongeng merupakan unsur yang kerapkali mewarnai karya-karya pensejarahan
tradisional yang akhirnya menyebabkan karya-karya ini dihurungi pelbagai
konterversi jika dilihat berdasarkan konsep pensejarahan moden.
4.0 KELEMAHAN SULALATUS SALATIN UNTUK BERDIRI SEBAGAI
SUMBER SEJARAH:
Antara faktor yang menyukarkan karya Salalatus Salatin untuk
berdiri sebagai sumber sejarah ialah kerana karya ini tidak mempunyai ciri-ciri
sebuah hasil penulisan yang bercorak sejarah. Menurut R.G. Collingwood, sebuah
hasil penulisan sejarah perlu merangkumi empat ciri iaitu bersifat saintifik,
bersifat kemanusiaan atau mengemukakan perkara-perkara yang tertentu pada masa
yang lalu, bersifat rasional dengan berdasarkan kepada bukti yang sahih dan
perlu bersifat menjelaskan diri.[8]
Kaedah penulisannya yang dikatakan tidak rasional adalah
disebabkan pengarangnya mengaplikasikan pelbagai unsur magis yang bercorak
mitos, dongeng dan lagenda dalam karyanya. Hal ini berlaku kerana pengarangnya
menulis bukan atas maksud untuk menghasilkan karya yang bersifat ilmiah bahkan
hanya untuk menyukakan kuasa sang pemerintah. Hal ini dapat difahami
berdasarkan petikan ini:
“Setelah fakir allazi murakabun ‘ala jahili (mendengar
titah yang Maha Mulia itu), maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan
dia, syahdan memohonkan taufik ke hadrat Allah, Tuhan sani’il alam, dan minta
huruf kepada Nabi sayyidil-anam, dan minta ampun kepada sahabat yang akram;
maka fakir karanglah hikayat ini, kama sami’tuhu min jaadi wa abi, supaya akan
menyukakan duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat ini “Sulalatus
Salatin”, yakni pertuturan segala raja-raja, hazihi durratul-akhbar wal-amsal,
inilah mutiara segala ceritera dan cahaya segala peri umpamanya. Maka barang
siapa membaca dia, jangan dibicarakan dengan sempurna bicara….”[9]
Berdasarkan wacana ini, “sudah terang lagi bersuluh” bahawa
motif utama penulisan Tun Seri Lanang adalah semata-mata untuk menyukakan hati
pemerintah Johor yang pada ketika itu di bawah pimpinan Sultan Alauddin Riayat
Syah. Memang bangsa Melayu pada ketika itu sangat berpegang kuat pada konsep
taat, setia dan patuh kepada segenap suruhan pemerintah. Hal ini diwarnai lagi
dengan pengamalan konsep daulat dan tulah dalam suasana persekitaran masyarakat
Melayu lama.
Selain itu, antara isu yang mencetuskan konterversi terhadap
karya ini adalah disebabkan penggunaan kaedah pensejarahan yang dipraktikkan
oleh penulisnya. Persoalannya kini, adakah Tun Seri Lanang mengaplikasikan
lunas-lunas kaedah pensejarahan seperti yang kebanyakan sejarahwan fahami masa
kini?. Ternyata Tun Seri Lanang hanya menggunakan sumber bertulis dan sumber
lisan dalam skop penulisannya. Antara sumber bertulis paling pokok yang
digunakan ialah teks Sejarah Melayu induk sendiri yang dibawa dari Goa. Hikayat
ini kemudiannya diperbaiki dan disunting semula sehingga akhirnya teks ini
dinamakan dengan istilah ‘Sulalatus Salatin”.[10] Sumber lain yang digunkan
ialah Hikayat Iskandar Dzulkarnain yang berkaitan tentang tradisi dan naratif
Iskandar Zulkarnain, Hikayat Amir Hmazah yang mengisahkan Raja Suran yang
mendirikan negeri di benua Keling dan Hikayat Raja-Raja Pasai tentang kerajaan
tua Pasai. Selain sumber ini, pengarang juga menggunakan kaedah sumber lisan.
Penggunaan kaedah ini sememangnya popular pada abad ke-16 dan abad ke-17.[11]
Penggunaan sumber lisan ini ternyata mempunyai pelbagai kelemahan kerana kaedah
ini secara lazimnya mudah dicemari dengan unsur-unsur tokok-tambah yang
akhirnya mencemarkan sifat sejarahnya. Hal inilah yang menyukarkan karya ini
untuk layak berdiri sebagai sumber sejarah. Sedangkan “Bapa Sejarah Dunia”
iaitu Herodotus juga seringkali dikecam oleh beberapa sarjana tentang
gelarannya sebagai pelopor sejarah dunia walaupun beliau telah menjalankan
beberapa kaedah penyelidikan iaitu kaedah temuduga dan pemerhatian dalam
penghasilan karya beliau yang berjudul “Sejarah Perang Parsi”.[12]
Selanjutnya, persoalan mungkin boleh ditimbulkan dalam nada
yang berbunyi adakah Tun Seri Lanang membuat kaedah kritikan luaran dan
kritikan dalaman sewaktu penghasilan penulisan beliau. Jika beliau dikatakan
ada mengaplikasikan kaedah tersebut, sudah sepastinya unsur-unsur yang berbentuk
magis dan anankronistik tidak akan wujud dalam karya tersebut. Disamping itu,
untuk sesuatu sumber itu diiktiraf sebagai sumber sejarah perlulah dijalankan
aktiviti penafsiran sumber berdasarkan logik akal bagi menentukan kewarasan
sumber tersebut.
Sementelahan itu, Salalatus Salatin juga dilihat hanya mampu
berdiri sebagai sebuah karya sastera. Salalatus Salatin adalah sebuah hasil
sastera sejarah iaitu sebuah karya ciptaan berjasadkan sejarah. “Sejarah” yang
dipaparkan dibentuk oleh matlamat-matlamat di luar sejarah dan dibungai dengan
pelbagai gejala yang mencairkan sifat kesejarahannya.[13] Menurut Ahmad Mahmood
Musanif, Salalatus Salatin hanya layak dilihat sebagai hasil sastera sejarah.
Hal ini dapat difahami berdasarkan petikan ini.
“Sejarah Melayu hanya lebih sesuai diklafikasikan dalam
kategori hasil sastera sejarah kerana karya ini hanya mengambil bahan-bahannya
dari peristiwa-peristiwa sejarah, baik sejarah mengenai sebuah negeri maupun
sejarah mengenai seseorang pahlawan atau raja serta kandungannya pula dipenuhi
oleh unsur dongeng dan puisi yang indah.”[14]
Kelihatannya, faktor utama yang menyebabkan sesetengah
sarjana agak sukar untuk mengiktiraf Sulalatus Salatin sebagai sumber penulisan
sejarah adalah disebabkan isi kandungannya yang lebih kerap menampilkan
elemen-elemen kesuasasteraan seperti puisi yang bercorak pantun, gurindam dan
syair. Kandungan Sulalatus Salatin mempunyai pengaruh sastera dan budaya asing
iaitu Hindu dan Islam. Pengarang Sulalatus Salatin telah memperpadukan kedua-dua
unsur seperti unsur emas dan unsur perak yang merupakan unsur Hindu dengan
unsur tempatan iaitu padi.[15] Keadaan sama juga muncul pada nama-nama tempat
dan watak yang digunakan seperti Malini dalam bahasa Sanskrit yang berertti
mengulungkan bunga.[16] Selain itu, Bat dalam tradisi agama Hindu merujuk
kepada suatu upacara mensucian seseorang Brahmin.[17] Namun terdapat perubahan
yang ditonjolkan dalam teks Salalatus Salatin iaitu Bat digamnbarkan sebagai
seorang manusia suci yang lahir daripada muntah lembu putih untuk memahkotakan
kelahiran Parameswara. Walaupun terdapat perubahan yang ditonjolkan, namun
konsep yang digunapakai masih lagi sama. Selain itu, contoh lain yang adalah
seperti penggunaan konsep devaraja. Penggunaan konsep devaraja telah diubahsuai
dan digantikan dengan penggunaan konsep khalifah.[18] Dengan cara ini, Tun Seri
Lanang telah mengambarkan unsur-unsur keislaman dalam karya beliau. Bukan itu
sahaja, pemaparan upacara waadat sememangnya mempunyai serba sedikit persamaan
dengan konsep baiah dalam ajaran Islam. Baiah dalam Islam diaplikasikan sewaktu
perlantikan seseorang khalifah. Maka mungkin kerana ini terdapat sesetengah
sarjana yang lebih berpendapat bahawa Sulalatus Salatin yang bermaksud
Salasilah Raja-Raja atau Jurai Keturunan Raja-Raja lebih layak untuk dilabelkan
sebagai Kisah Raja-Raja Melayu seperti Kisah Raja-Raja Pasai. [19]
Seterusnya, sebab utama yang menyebabkan karya ini kurang
layak untuk berdiri sebagai sumber sejarah adalah kerana isi kandungannya yang
lebih banyak mengandungi percampuran unsur-unsur mitos, lagenda, khayalan dan
hiburan. Menurut R.O.Winstedt, Wilkinson, John Crowfort mengatakan: “Sejarah
Melayu adalah karya dimana pengarangnya telah mengkahwinkan keadaan semasa
dengan dongeng-dongeng dan legenda-legenda yang terdapat dalam cerita
dewa-dewi”.[20] Manakala J.C.Bottom pula mengatakan, “…history as the Malay has
seen it – a mixture of truth and legend, fantasy and fact, entertainment and
instruction.”[21] J.C.Bottom menyatakan bahawa sejarah bagi orang Melayu
bukanlah sains atau kesenian tetapi adalah hiburan oleh penulis sastera yang
berbentuk sejarah yang tidak mengutamakan penyusunan fakta dan konkrit.[22]
Ternyata, pandangan ini mempunyai kerelevanannya yang tersendiri. Perkara ini
dapat dibuktikan berdasarkan petikan ini: “… a demon with eyes as red as flame,
with creel- like matted hair and a beard down to his waist”.[23] Petikan
memaparkan bahawa Badang telah berdepan dengan sejenis makhluk yang mempunyai
paras rupa yang menakutkan. Persoalannya, adakah benar-benar wujud makhluk yang
sedemikian rupa atau hanya sekadar tokok-tambah daripada sang penulis.
Selain itu, tiada konsep pentarikhan yang tepat dalam teks
Salalatus Salatin. Ada yang berpendapat bahawa Salalatus Salatin dikarang pada
hari Khamis iaitu yang terdapat dalam pendahuluan hikayat yang berbunyi
“…seribu dua puluh satu tahun kepada tahun Dal, pada dua belas haribulan
Rabi’ul Awal kepada hari Khamis…” iaitu bersamaan 13hb Mei 1612.[24] Tetapi ada
juga tokoh yang mengatakan Salalatus Salatin dikarang pada hari Ahad. Selain
itu juga, sesuatu peristiwa yang berlaku mestilah mengikut kronologi. Namun
begitu, dalam teks ini, perkara yang mengikut kronologinya adalah sesuatu
peristiwa yang berlaku tetapi masa dan juga tahun sesuatu peristiwa yang
berlaku tidak dapat diperoleh. Kronologi sejarah juga dikaitkan dengan rentetan
peristiwa yang teratur mengikut urutan masa dari awal hingga yang terakhir.[25]
Misalnya seperti kisah pelayaran Sri Tri Buana dari Bentan ke Temasik yang
tarikhnya tidak dicatatkan. Maka tanpa kewujudan tarikh dalam peristiwa,
sesuatu peristiwa itu sukar untuk dianggap sebagai sumber sejarah. Teks
Salalatus Salatin juga mengandungi unsur anankronistik iaitu kesilapan atau
percanggahan untuk menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan tempat pada zaman
yang sebenarnya.[26]
5.0 KEBENARAN DAN KEUNIKAN YANG TERSELINDUNG DISEBALIK
SULALATUS SALATIN:
Sulalatus Salatin walaubagaimanapun menyemat 1001 macam
kebenaran dan keunikannya yang tersendiri. Kebenaran dan keunikannya perlu
dikaji dan diselidiki dalam pelbagai aspek yang meluas dan universal. Hal ini
kerana, keunikan dan kebenarannya terselindung disebalik isinya yang tersurat.
Antara peranan penting yang dimainkan oleh karya ini adalah bertindak sebagai
salah satu rujukan penting dalam mengkaji perihal suasana kehidupan masyarakat
Melayu zaman dahulu terutamanya pada abad ke-14 dan ke-15. Hal ini kerana, jika
menulis berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu berdasarkan
sumber barat terutamanya sumber yang dihasilkan oleh sarjana kolonial seperti
R.O.Winstedt, Frank Swettenhem dan lain-lain lagi sepastinya akan menimbulkan
masalah. Hal ini kerana, kebanyakan tafsiran ataupun interpretasi yang
dikemukakan oleh sarjana ini lazimnya berdasarkan kaca mata barat. Kebanyakan
mereka dilihat memanipulasikan soal entosentrisme. Entnosentrisme secara
mudahnya ialah kepercayaan bahawa kebudayaan sendiri lebih unggul, tinggi
nilainya dari kebudayaan lain.[27] Konsep ini juga mendorong kepada menilai
kebudayaan lain berdasarkan kepada standard kebudayaan sendiri. Contohnya,
seperti orang Eropah yang melihat masyarakat Asia dengan persepsi yang ganjil
apabila masyarakat Asia makan dengan menggunakan tangan dan memasuki rumah
mereka tanpa alas kaki sedangkan kebanyakan masyarakat Eropah makan dengan
menggunakan sudu dan garpu serta memasuki rumah mereka dengan menggunakan alas
kaki. Oleh sebab itulah, terdapat sarjana seperti Zainal Abidin Wahid yang
menekankan pensejarahan peribumi ditulis oleh penulis peribuminya kerana hanya
masyarakat peribumi itu sahaja yang dapat memahami suasana kehidupan
masyarakatnya. Hal inilah yang membawa kepada kemunculan konsep
Malaysia-sentrik iaitu karya sejarah atau apa-apa karya yang mempunyai nilai
sejarah tentang negara ini atau satu bahagian yang dahulunya terangkum dalam
entiti Melayu. Berdasarkan konsep ini, hanya sarjana tempatan sahaja dilihat
lebih layak menulis tentang sejarah Malaysia. Menurut Zainal Abidin Wahid lagi
:
“Sejarah Melayu benar-benar merupakan satu sumber
terpenting bagi pengkajian Sejarah Alam Melayu umumnya dan Melaka khususnya
pada zaman sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Tidak ada buku atau
manuskrip lain yang boleh menggambarkan masyarakat Melaka dengan cara yang
lebih baik dan jelas dari Sejarah Melayu”.[28]
Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan
penggunaan bahasa dalam penghasilannya. Kita dapat melihat bagaimana bangsa
Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif, bijaksana dan mendalam dalam
bahasanya sendiri.[29] Mereka mampu berfikir melalui bahasa figuratif, bahasa
metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui fikiran yang linear
tetapi juga secara lateral dan kreatif. Jikalau kita belajar daripada sejarah
budaya dan tamadun bangsa Melayu itu, kita akan dapati bahawa tiga akar tunjang
iaitu bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam itulah “model” yang
membentuk pandangan dan jati diri atau identiti Melayu sebagai suatu bangsa
yang bebas, berdaulat, bermaruah, berakal budi, bijaksana dan bermoral tinggi
sepanjang zaman. Selama lebih 430 tahun dunia Melayu-Indonesia berada dalam
zaman globalisasi penjajahan yang dibawa oleh tiga kuasa Barat, Portugis,
Belanda dan Inggeris. Hal yang sangat menakjubkan ialah bangsa Melayu itu masih
mengekalkan kedaulatan bangsanya kekal hingga hari ini. Kita tidak menjadi suku
kaum yang lemah seperti suku kaum peribumi di Amerika yang tamadun mereka, budaya
mereka dan bahasa mereka dimusnahkan oleh kuasa penjajah dari Eropah. Orang
Melayu terus dapat berkembang menjadi bangsa atau nation yang mempunyai
kerajaan, agama, budaya dan kesusasteraan yang tinggi.
Sementelahan itu, kajian terhadap karya pensejarahan
tradisional perlu dilihat berdasarkan kajian yang tersirat. Kajiannya tidak
boleh dilihat secara mata kasar sahaja kerana kebenarannya tersirat disebalik
yang tersurat. Contohnya seperti membincangkan tentang faktor yang memudahkan
masyarakat Tanah Melayu memeluk Islam walaupun kepercayaan Hindu-Buddha telah
lama menapak dalam hati dan sanubari mereka. Dalam isu ini, kita dapat melihat
bahawa betapa terbukanya minda Melayu.[30] Kita melihat apabila budaya
Hinduisme dan Islam yang datang secara aman, tidak melalui paksaan, tidak
melalui pedang dan peperangan, maka budaya dan kepercayaan ini mudah berkembang
di rantau ini. Keterbukaan orang Melayu dapat dilihat apabila orang Melayu
sanggup melakukan suatu proses tranformasi budaya, tamadun dan pemikiran yang
cukup revolusioner. Namun, apabila budaya atau tamadun dari luar itu cuba
dipaksakan kepada orang Melayu melalui keganasan, peperangan dan penjajahan,
maka mereka akan menolaknya. Orang Melayu menolak budaya Portugis kerana bangsa
Eropah datang secara agresif; mereka memerangi orang Melayu dan merampas
kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511. Itulah sebabnya mengapa orang Melayu
“tidak masuk Kristian” dan tidak menerima bahasa Portugis dan budaya mereka,
padahal Portugis memerintah di Melaka selama lebih seratus tahun (hingga tahun
1641).
Selanjutnya, kita juga akan melihat bahawa lokasi-lokasi
yang dinyatakan dalam teks Sulalatus Salatin seperti Temasik atau Singapura,
Palembang, Pulau Bentan, Tanjung Bemban, Minangkabau, Tanjung Pura, Srivijaya,
Majapahit, Siam dan lain-lain lagi masih wujud sehingga kini. Berdasarkan hujah
ini, ternyata menilai karya pensejarahan tradisional Melayu berdasarkan kaca
mata barat adalah suatu kesilapan. Hal ini didorong oleh beberapa faktor
seperti faktor perbezaan budaya, tujuan penulisan teks dan kaedah penulisan.
Pensejarahan moden yang menggunakan rujukan atau sumber barat tidak sesuai
untuk menilai karya pensejarahan tradisional. Hal ini hanya mendorong kepada
isu berat sebelah dan akhirnya pensejarahan baratlah yang akan mendominasi
pensejarahan tradisional. Selain itu, perbezaan tujuan penulisan yang berbeza
juga menyebabkan pensejarahan tradisional tidak relevan dinilai berdasarkan
kaca mata barat.
Karya pensejarahan tradisional lazimnya bertujuan memaparkan
sejarah keagungan negara,pemerintah dan bangsanya sedangkan pensejarahan moden
ditulis dengan tujuan untuk memaparkan penulisan sejarah yang bersifat
saintifik. Seterusnya, kaedah dan gaya penulisan juga berbeza. Kebanyakan karya
pensejarahan tradisional diwarnai dengan unsur-unsur kesusasteraan seperti
sajak,puisi,gurindam dan mitos.[31] Unsur-unsur ini diaplikasikan untuk
memenuhi sifat masyarakat yang menyanjung raja. Unsur-unsur tersebut juga
penting sebagai hiburan atau penarik serta kritikan terhadap pihak tertentu
secara sinis, halus tetapi penuh simbolik. Namun, jika isu ini dilihat
berdasarkan sudut pandangan barat, ternayta ia sungguh bercanggah sekali.
Menurut Leopold von Ranke, sejarah mestilah berlandaskan bukti sahih dan
buannya daya imaginasi semata-mata seperti mana yang dilakukan oleh
penulis-penulis beraliran sastera.[32] Seterusnya, penulisan sejarah pada hari
ini yang dianggap moden dan saintifik mungkin juga akan dianggap sebagi
ketinggalan zaman dan tidak saintifik pada masa akan datang.
6.0 KESIMPULAN:
Jelasnya, karya pensejarahan tradisional umunya dan karya
Sulalatus Salatin khususnya tidak layak untuk diukur atau dinilai berdasarkan
kaca mata barat. Hal ini kerana, terdapat perbezaan yang amat ketara antara
pensejarahan tradisional dengan pensejarahan moden yang dibentuk barat. Justeru
itu, karya pensejarahan tradisional sememangnya layak untuk dijadikan sumber
dalam penulisan sejarah kerana kandungannya yang lebih memaparkan dan memahami
suasana kehidupan masyarakat peribumi pada masa silam berbanding dengan sumber
asing yang kebanyakannya ditulis oleh para sarjana kolonial. Hal ini kerana,
kebanyakan para sarjana kolonial menulis dengan persepsi yang kurang
menyenangkan terhadap suasana kehidupan masyarakat peribumi pada masa silam dan
akhirnya hal ini membawa kepada unsur berat sebelah kepada sejarah masyarkat
peribumi. Jelasnya, untuk mengenepikan karya pensejarahan tradisional sebagai
rujukan sejarah adalah suatu perkara yang tidak relevan walaupun kebanyakannya
isi kandungannya bercanggah dengan konsep dan teori pensejarahan moden.
BIBLIOGRAFI.
BUKU:
Ahmad Mahmood Musanif. 1992. Pemahaman dan Penghayatan
Sejarah Melayu.
Selangor: Masa Enterprise.
Ali Ahmad. 1987. Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arbai'yah Mohd Noor.2002. Ilmu Sejarah dan
Pensejarahan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Brown, C.C. 1970. Sejarah Melayu or Malay Annals (terj.).
London: Oxford University Press.
Flaron bin Daud. 1985. Sejarah Melayu: Satu Kajian Dari
Aspek Pensejarahan Budaya. Bangi: Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan
Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhd. Yusoff Hashim. 1988. Pensejarahan Melayu Nusantara:
Kajian Mengenai Sumber, Penghayatan Masalah dan Tafsiran Naskah-Naskah Terpilih
Sejarah Melayu. Singapura: Gaints Prints Sdn. Bhd.
Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988.
Sejarahwan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Sheikh Othman bin Sheikh Salim (eds.). 1997. Kamus Dewan
Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suntharalingam, R. 1985. Pengenalan kepada Sejarah. Kuala
Lumpur: Marican.
Suntharalingam, R. 1987. Pensejarahan Barat. Kuala Lumpur:
Fajar Bakti.
The Colombia Encyclopedia, 6th Edition. 2001. Colombia:
University Press.
Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh. 1978. Sejarah Melayu:
Satu Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heineman
Educational Book (Asia) Ltd.
ARTIKEL:
Abdul Rahman Haji Ismail. 1985. "Sejarah Melatyu:
Antara dan Dakyah". Kajian Malaysia, Jilid III, NO.2.
Bottom, J.C. 1962. "Malay Historical Works" dalam
K.G.Tregonning (ed.). Singapore: Malaysian Historical Sources.
Hassan Ahmad. 2007. "Makna Sebuah Kedaulatan: Pandangan
Melayu Terhadap Dirinya", dalam Dewan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Thilagavathi Gunalan, V. 2005. "Dari Bukit SiGuntang ke
Bukit Larangan: Parameswara dalam teks Sejarah Melayu" dalam Prof.Emeritus
Dato’Dr. Mohd Yusoff Hashim (penyt.), Parameswara Pengasas Empayar Melaka.
Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) GRAHA IKSEP.
Yusoff Iskandar. 1986. "Sejarah Melayu Sastera yang
Bercorak Sejarah", dalam Zahrah Ibrahim (penyt.), Sastera Sejarah:
Interpretasi dan Penilaian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment